Monday, August 15, 2005

Saya komited bantu pekerja - Mohamad Sabu

Oleh ROY RASUL

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Hrkh) – Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar, Haji Mohammad Sabu yang sekali lagi diberi amanah untuk menerajui lajnah berkenaan dan bertekad akan terus pertingkatkan peranan lajnah tersebut selari dengan hak pekerja dan pengguna di negara ini.

Menurutnya, usaha untuk pekerja berpersatuan perlu dipergiat selain memberi kesedaran untuk menuntut hak-hak mereka.

Tambahan pula katanya, sekarang ini, lapan hingga sembilan peratus tenaga kerja yang berjumlah lebih kurang 10 juta menyertai kesatuan.

“Pertamanya mereka boleh sertai kesatuan tapi mereka agak malas, kedua mereka tidak menyertai kesatuan kerana tekanan majikan dan ketiga kerajaan sendiri tidak benarkan mereka sertai kesatuan contohnya di kilang-kilang elektronik.

“Sekarang lajnah ini yang mendapat gabungan tenaga lama dan baru akan berusaha supaya para pekerja menyertai kesatuan dan aktif bagi memboleh mereka menuntut hak-hak mereka.

“Kerana sekarang kaum pekerja mengalami kehidupan begitu teruk kesan kenaikan harga minyak, barang-barang, tol sedangkan upah mereka tidak seiring dengan kenaikan harga barang dan inflasi yang berlaku sekarang,” katanya semasa ditemui wartawan di Harakah sebentar tadi.

Dalam pada itu katanya, lajnahnya juga akan bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi menggalak pekerja menjadi ahli kesatuan serta berperanan dalam kesatuan.

Malah katanya, beliau juga berazam untuk mengaktifkan lagi gerak kerja yang dilakukan sebelum ini dan di antara program yang diaturkan adalah seminar yang bertajuk ‘Kehidupan Buruh Dulu, Kini dan Selamanya’.

Program tersebut dijadual pada 17 September ini di Medan Selera Temasya, Glenmarie, Shah Alam, Selangor dan akan dirasmikan oleh Senator Hassan Shukri.

Seminar yang akan bermula dari jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang adalah percuma dan terbuka kepada seluruh pekerja.

Sementara itu, menurut Setiausaha Lajnah berkenaan, Ahmad Izan Ahmad selain pembentangan kertas kerja, satu dialog antara Mohammad Sabu bersama buruh dan pemandu teksi turut diadakan pada sebelah petang hari berkenaan.

Turut hadir dalam pertemuan dengan Harakah adalah anggota exco Lajnah Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar iaitu, Haji Mursinol Tahir dan Wan Mohd Ghazali Mahmud. - mks.

Kubur dasar Tasik Pedu bukti pembangunan belakangi fatwa - Haron Din

Oleh Sabri Said

PERMATANG PAUH, 16 Ogos (Hrkh)- Timbalan Musyidul Am PAS, Dato' Dr Harun Din berkata, penemuan perkuburan Islam lama yang terdapat di dasar Tasek Pedu, Kedah membuktikan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak dulu lagi membelakangkan Majlis Fatwa.

Sekarang ini ujarnya, bila berlaku penemuan semula setelah air tasek berkenaan kering Majlis Agama Islam Kedah (Maik) kena bertindak segera mengubah perkuburan itu ke satu tempat yang sesuai.

"Ini mungkin kerja Allah untuk menunjukkan sikap BN yang nyata tidak menghiraukan Majlis Fatwa atau membelakangkan padangan orang alim waktu itu, " ujarnya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Komplek An-Nahdhoh di Kampung Petani, Bukit Mertajam semalam.

Dalam Islam, katanya, pengkebumian di kawasan air hendaklah dielakkan kecuali di tengah laut.

Kes di Pedu tegas beliau, satu pengajaran agar lebih berhati-hati untuk merancang pembangunan yang membabitkan perkampungan orang Islam atau kawasan yang terdapat masjid.

"Dalam Islam jika mahu kebumikan jenazah pastikan kuburnya tidak ada air. Jika ada buang air dulu kemudian baru tanam. Tambahan lagi kita tahu di Pedu ada perkuburan yang dikebumikan dalam air bila kering jangan tunggu lama sebaliknya pindahkan saja, " jelas beliau.

Menjadi kelaziman kerajaan sekarang ini mengamalkan sikap 'buat dulu baru tanya' dan bila terperangkap baru teringatkan fatwa.

Cara demikian kena ubah jelas Dr. Haron, sebaliknya utamakan pandangan ulamak kerana golongan ini lebih arif dari segi hukum hakam.

"Sepatutnya bila hendak laksanakan sesuatu perkara yang baru seperti Amanah Saham bumiputra (ASB), Sure heboh dan pemberian kondom percuma bincangkanlah dengan ilmuan Islam terlebih dahulu jangan bertindak melulu, " terangnya.

Bercakap mengenai kebimbangan Dato' Rais Yatim jika rancangan televisyen tidak memaparkan hiburan Dato' Dr. Haron Din mengatakan, itu hanya muslihat untuk terus mempergunakan remaja demi kepentingan pilihanraya.

Kesempatan itu digunapakai oleh BN untuk memburuk-burukkan PAS ekoran terlalu banyak sekatan yang perlu diambil kira.

"Para mufti telah keluarkan fatwa tentang Sureheboh tapi mereka teruskan juga kerana bimbang remaja tidak ikut mereka sekaligus memberi keuntungan pada PAS, " ujarnya.
- zs