Monday, June 20, 2005

Kepimpinan baru PAS gusarkan Umno/BN - Haron Din

Oleh Bashir Ishak

BANGI, 21 Jun (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menyifatkan barisan kepimpinan PAS yang baru dilantik begitu menggusarkan pihak lawan iaitu Umno dan Barisan Nasional (BN) sehingga wujud komen dan label-label negatif yang diberikan seperti ulama liberal.

Baginya, pihak lawan gusar kerana PAS ada elemen baru yang boleh diletakkan harapan kepada mereka untuk berubah dan mengajak masyarakat bersama-sama dengan kepimpinan baru bagi menempah kejayaan yang lebih besar dalam perjuangan PAS pada masa hadapan.
"Istilah ulama liberal ini tidak pernah timbul dalam PAS. Kita sebut golongan profesional. Ada ulama dan profesional,"katanya semasa ditemui oleh Harakahdaily semalam selepas kembali daripada menjalani rawatan di Amerika Syarikat.

Baginya, istilah liberal ini tidak wujud dalam PAS tetapi sengaja disebut oleh pihak lawan bagi menimbulkan keadaan tidak harmonis dalam PAS.

Beliau melihat perubahan yang berlaku di dalam PAS adalah hasil daripada kehendak akar umbi yang mahukan perubahan sejak muktamar dua tahun lepas serta keadaan PAS yang sedikit menurun semenjak pilihan raya umum yang lalu.

Menurutnya, perubahan ini agak besar tetapi amat baik kerana berlaku dalam keadaan yang harmonis. Tiada berlaku ketidakpuasan hati, ada yang mengundur diri awal dan yang tak terpilih dalam pemilihan dengan senang hati menerima keputusan tanpa rungutan.

"Team baru ini benar-benar untuk penuhi hasrat ahli PAS agar wujud satu perubahan yang dapat diterima semua," katanya lagi.

Menyentuh tentang memperkasakan majlis syura, Dr Haron mahu perkara ini dibincangkan dan dihadamkan secara serius terutamanya dalam isu status pemisahan kuasa syura dan eksekutif.

"Baik buruknya syura tidak campur dengan eksekutif, biarlah ianya terus sebagai badan penggerak, penasihat utama dan pembimbing bagi letakkan syura sebagai badan tertinggi dalam PAS," ujarnya.

Beliau bagaimanapun hanya akan kekal sebagai Timbalan Mursyidul Am dengan alasan kesihatan.

"Saya belum sihat secara profesionalnya untuk tugasan yang berat," katanya.

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai isu kerjasama dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI), bagi Dr Haron, PAS boleh menerima kerjasama dengan sesiapa sahaja selama mana tidak gugat dasar yang sedia diperjuangkan oleh PAS.

"Kerjasama dengan Anwar bukan perkara baru, perkara lama yang ditunjangi oleh kerjasama PAS dengan KeADILan semasa beliau dalam penjara. Bila keluar, hubungan itu nampak makin kukuh,"jelasnya.

Kata Dr Haron lagi, PAS perlu menjalinkan hubungan bukan sahaja dengan Anwar sebagai satu "figure politic" tetapi juga dengan NGO dan individu lain yang mempunyai matlamat yang sama.

Ketika ditanya wartawan mengenai penggantinya untuk jawatan Ketua Penerangan,Dr Haron menyifatkan Ustaz Ahmad Awang sebagai pengganti yang paling sesuai.

Baginya Ketua Penerangan perlu diterajui oleh orang yang berkaliber yang diterima mudah oleh masyarakat, dengan mudah untuk menyampaikan maklumat khasnya isu keislaman yang libatkan hukum.

"Ustaz Ahmad boleh buat kerja ini kerana dia aktivis masyarakat yang diterima umum, YDP Persatuan Ulama Malaysia dan Pegawai Pusat Islam dalam bidang dakwah, boleh tangani isu-isu Islam dengan ulasan terkini melalui penulisan dan ceramah.

"Kesemua ciri ini ada pada Ustaz Ahmad Awang dan memenuhi cita rasa masyarakat dan saya yakin pelantikan beliau kena tempat, ketika dan masa serta tidak mengundang kontroversi," katanya lagi. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home