Tuesday, June 28, 2005

Tahi rasuah dalam Umno

Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat

DENGAN keputusan penggantungan Naib Presiden Umno selama enam tahun, setiausaha politiknya selama tiga tahun, Exco kerajaan Pahang dan Melaka, masing-masing selama dua tahun dan ahli Parlimen Kota Bharu selama tiga tahun, (dan mungkin ada lagi yang lain), maka terbongkarlah sebuah tembelang Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia yang enggan meneruskan ugutan terhadap saya, suatu ketika dahulu.

Itu belum lagi dicampur dengan 18 kes rasuah berprestij tinggi seperti yang diiklankan oleh Perdana Menteri. Pada asalnya, saya telah diberi tempoh tiga hari untuk menarik balik tuduhan saya yang mengatakan Umno memang mengamalkan rasuah semasa memenangi pilihanraya umum yang lalu.
Jika dalam pemilihan sesama Umno pun, Umno sanggup menabur wang, apa lagilah apabila mereka berdepan dengan PAS. Kini, muktamadlah yang Umno memang sebuah parti yang mengamalkan rasuah.

Jika Naib Presiden yang mendapat undi tertinggi pun boleh rasuah sedangkan dia orang nombor tiga dalam parti, maka apa lagi yang masih tinggal dalam Umno. Umno harapan bangsa? Harapan pembela ugama? Harapan tanah air.

Semasa mengikuti komen pemimpin-pemimpin Umno seperti Dato’ Seri Khir Toyo dan beberapa orang yang lain, kita mendengar peringatan-peringatan berbunyi, “kita (pemimpin Umno) perlu tengok kesan hukuman terhadap Umno kerana kita mahu Umno terus mendapat tempat di hati rakyat khususnya orang Melayu. Yang penting ialah ahli dan imej parti.” (Khir Toyo-Berita Minggu 26 Jun 2005).

Jika rakyat betul-betul teliti kata-kata ini, tentu rakyat boleh menjadi semakin keliru. Pertama, masih mahu membelakah lagi Menteri Besar Selangor ke atas bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang telah diputuskan bersalah oleh Lembaga Disiplin Partinya sendiri?

Kedua, bagaimana lagi boleh Umno mendapat tempat di hati rakyat jika sudah bergelumang dengan rasuah? Ketiga, menjaga imej apa lagi sesudah Umno sudah tidak berimej? Imej Umno ialah rasuah. Masih adakah maruah?

Jika saya perlu menyokong respons pemimpin Umno, saya lebih menghormati komen Dato’ Shahrir yang berbunyi, “kita perlu bersihkan (Umno) daripada peringkat atas terutama pemimpin jika benar-benar sayangkan parti.” (Berita Minggu 26 Jun 2005).

Kenyataan ini lebih kelihatan jujur walaupun dengan demikian, ia boleh mengesahkan status Umno terkini yang amat busuk. Jika tidak, perlu apa gesaan Shahrir agar partinya itu dibersihkan!

Pada saya, Umno sudah busuk dan tidak layak lagi didekati oleh seluruh makhluk baik manusia atau malaikat. Jika dadah, rakyat digesa supaya menganggapnya sebagai najis maka rasuah telah saya nisbahkan sebagai tahi.

Saya sengaja ingin melahirkan rasa jijik kepada rasuah untuk menimbulkan kebencian dikalangan umat Islam. Ini kerana, Islam menganjurkan kita membenci apa jua bentuk maksiat lebih-lebih lagi rasuah baik dengan tangan atau lidah. Jika takdirnya tidak berdaya, maka ia wajib dibenci dengan hati.

Ada sepotong hadis Rasulullah S.A.W yang matannya berbunyi begini, “Malaikat tidak akan mendekati orang yang berbohong.” Jika bohong yang biasanya melibatkan dua tiga orang di sekitar kita pun boleh menyebabkan malaikat menjauhi kita inikan pula amalan rasuah yang melibatkan wang rakyat dan mungkin puluhan ribu manusia.

Terlanjur menyentuh isu najis, saya masih ingat lagi semasa bekas Ahli Parlimen PAS dari Sik menulis sebuah novel bertajuk “shit”.

Ramai orang yang marah-marah. Nampaknya, PAS sekali lagi memang mendahului zaman dari segi pemikiran. Setelah lima tahun kemudian, baru kebanyakan rakyat boleh memahami “tahi” yang bagaimana yang telah dimaksudkan oleh PAS itu.

Kita perlu benci sesuatu kemungkaran biar sampai berjejak ke dalam hati. Kita namakan tahi rasuah agar rakyat boleh bayangkan yang kereta yang dibeli dengan wang rasuah adalah kereta yang penuh tahi.

Baju yang dipakai kaki rasuah adalah baju yang berlumuran dengan tahi. Lantai dinding banglonya adalah penuh bersalut dengan tahi. Masyarakat memandang pengamal rasuah sejijik memandang tahi.

PAS secara peribadi mempunyai satu perancangan tersendiri dalam usaha untuk bersama dengan sesiapa jua bagi memerangi rasuah. Kita berhajat benar untuk mendokong Pelan Integriti National (PIN).

Bagaimanapun kita mahu gunakan kaedah Islam. PAS mahu bermula dari prinsip insan yang bersifat hamba. Insan yang dibebankan dengan hukum. Insan yang dihidupkan dengan iman dan takwa kepada Allah S.W.T. semata-mata.

Insan yang menegakkan makruf dan menentang kemungkaran kerana inginkan pahala dan takutkan dosa. Insan yang akhirnya rindukan syurga dan gerunkan neraka.

Di tengah-tengah kerangka besar itulah saya bercadang untuk menanamkan sifat bencikan rasuah. Perasaan jijikkan rasuah ini biar bertapak kejap dihati setiap rakyat dan berkembang menjadi budaya hidup.

Tiba-tiba, di tengah-tengah impian itu, pemimpin Umno pula yang buat perangai. Saya menjadi serba salah. Jika PAS meneruskan perancangan asal, bermakna PAS akan menghina pemimpin tahi. Kebetulan Lembaga Disiplin Umno sendiri pula yang mengesahkan yang pemimpinnya sendiri telah menjadi “tahi”.

Maksud saya, dalam konteks ini, telah terbukti ada pemimpin Umno yang sudah menjadi tahi rasuah. Sama juga dengan tahi judi, tahi rasuah adalah “tahi”. Izinkan saya pulangkan persoalan ini untuk direnungi oleh seluruh rakyat Malaysia. Wallahua’lam.

Monday, June 20, 2005

Kepimpinan baru PAS gusarkan Umno/BN - Haron Din

Oleh Bashir Ishak

BANGI, 21 Jun (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menyifatkan barisan kepimpinan PAS yang baru dilantik begitu menggusarkan pihak lawan iaitu Umno dan Barisan Nasional (BN) sehingga wujud komen dan label-label negatif yang diberikan seperti ulama liberal.

Baginya, pihak lawan gusar kerana PAS ada elemen baru yang boleh diletakkan harapan kepada mereka untuk berubah dan mengajak masyarakat bersama-sama dengan kepimpinan baru bagi menempah kejayaan yang lebih besar dalam perjuangan PAS pada masa hadapan.
"Istilah ulama liberal ini tidak pernah timbul dalam PAS. Kita sebut golongan profesional. Ada ulama dan profesional,"katanya semasa ditemui oleh Harakahdaily semalam selepas kembali daripada menjalani rawatan di Amerika Syarikat.

Baginya, istilah liberal ini tidak wujud dalam PAS tetapi sengaja disebut oleh pihak lawan bagi menimbulkan keadaan tidak harmonis dalam PAS.

Beliau melihat perubahan yang berlaku di dalam PAS adalah hasil daripada kehendak akar umbi yang mahukan perubahan sejak muktamar dua tahun lepas serta keadaan PAS yang sedikit menurun semenjak pilihan raya umum yang lalu.

Menurutnya, perubahan ini agak besar tetapi amat baik kerana berlaku dalam keadaan yang harmonis. Tiada berlaku ketidakpuasan hati, ada yang mengundur diri awal dan yang tak terpilih dalam pemilihan dengan senang hati menerima keputusan tanpa rungutan.

"Team baru ini benar-benar untuk penuhi hasrat ahli PAS agar wujud satu perubahan yang dapat diterima semua," katanya lagi.

Menyentuh tentang memperkasakan majlis syura, Dr Haron mahu perkara ini dibincangkan dan dihadamkan secara serius terutamanya dalam isu status pemisahan kuasa syura dan eksekutif.

"Baik buruknya syura tidak campur dengan eksekutif, biarlah ianya terus sebagai badan penggerak, penasihat utama dan pembimbing bagi letakkan syura sebagai badan tertinggi dalam PAS," ujarnya.

Beliau bagaimanapun hanya akan kekal sebagai Timbalan Mursyidul Am dengan alasan kesihatan.

"Saya belum sihat secara profesionalnya untuk tugasan yang berat," katanya.

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai isu kerjasama dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI), bagi Dr Haron, PAS boleh menerima kerjasama dengan sesiapa sahaja selama mana tidak gugat dasar yang sedia diperjuangkan oleh PAS.

"Kerjasama dengan Anwar bukan perkara baru, perkara lama yang ditunjangi oleh kerjasama PAS dengan KeADILan semasa beliau dalam penjara. Bila keluar, hubungan itu nampak makin kukuh,"jelasnya.

Kata Dr Haron lagi, PAS perlu menjalinkan hubungan bukan sahaja dengan Anwar sebagai satu "figure politic" tetapi juga dengan NGO dan individu lain yang mempunyai matlamat yang sama.

Ketika ditanya wartawan mengenai penggantinya untuk jawatan Ketua Penerangan,Dr Haron menyifatkan Ustaz Ahmad Awang sebagai pengganti yang paling sesuai.

Baginya Ketua Penerangan perlu diterajui oleh orang yang berkaliber yang diterima mudah oleh masyarakat, dengan mudah untuk menyampaikan maklumat khasnya isu keislaman yang libatkan hukum.

"Ustaz Ahmad boleh buat kerja ini kerana dia aktivis masyarakat yang diterima umum, YDP Persatuan Ulama Malaysia dan Pegawai Pusat Islam dalam bidang dakwah, boleh tangani isu-isu Islam dengan ulasan terkini melalui penulisan dan ceramah.

"Kesemua ciri ini ada pada Ustaz Ahmad Awang dan memenuhi cita rasa masyarakat dan saya yakin pelantikan beliau kena tempat, ketika dan masa serta tidak mengundang kontroversi," katanya lagi. - mks.

Kerja 5 hari seminggu adalah jasa Nik Aziz

Oleh SUBKY LATIF

SELAIN dari warga pekerja wajar diberi tahniah kerana persetujuan kerajaan memberi cuti dua hari seminggu, yang wajar diberi tahniah ialah Mursidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melaksanakannya dalam tahun 1990 apabila beliau menjadi Menteri Besar Kelantan.

Sepuluh tahun kemudian dalam bulan Disember, 1999 Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang pula melaksanakannya di Terengganu pada PAS berkuasa di negeri itu dan ia tidak dibatalkan apabila BN mengambil alih kuasa tahun 2003.

Hanya 15 tahun kemudian baru pentadbiran BN pimpinan Datuk Seri Abdullah Badawi bersetuju cuti dua hari seminggu tetapi pelaksanaannya ditangguhkan pada suatu tarikh yang ditentukan.

Sayugia penghormatan diberikan kepada ketua ulama PAS itu kerana tindakannya 15 tahun dulu diiktiraf oleh pemimpin BN.

Tuan Guru itu bukan ahli professional. Beliau tok guru, ahli ilmu yang paling sedikit terlibat dengan ilmu pentadbiran ketika dipilih menjadi Menteri Besar Kelantan, tetapi tindakannya memberi cuti dua hari seminggu adalah tindakan profesional.

Sewajarnyalah tokoh ulama itu bersama seluruh penduduk Negara ini bersyukur atas izin Allah yang memperkenankan Perdana Menteri tidak malu dan tidak segan silu mengambil pendekatan kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu menyelaraskan hari kerja lima hari untuk sseluruh Negara.

Warga PAS tidak berkecil hati kalau Perdana Menteri dan kerajaannya serda media di bawah pengaruhnya tidak menyebut ia sebagai penyerasan dengan hari bekerja di Kelantan dan Terengganu yang dilaksanakan oleh PAS, tetapi hakikatnya ia adalah mengakui tindakan PAS 15 tahun lebih dulu adalah betul.

Sekalipun Perdana Menteri tidak mengaintkannya dengan PAS, tetapi semua justifikasi yang diberi mewajarkan cuti dua hari seminggu itu adalah sama dengan ssebab-sesbab yang diberi oleh Tuan Guru Nik Aziz 15 tahun dulu.

Tidak berbangkit Perdana Menteri meniru Tuan Guru Nik Aziz, walaupun hakikatnya begitu, yang penting ialah Perdana Menteri telah mengambil tindakan yang betul walaupun lewat 15 tahun.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Othman tidak perlu menunggu lama untuk mengkaji pelaksanaannya.

Pergi sendiri ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu, guna pakai apa yang sudah terlaksana, mungkin perlu membaki lagi mana-mana kelemahan yang ada.

Segala masalah yang dihadapi oleh Kelantan dan Terengganu jika ada dalam pelaksanaannya dulu, boleh dikaji supaya kerja lima hari itu boleh membuat lebih baik dari lima hari.

Kelantan sudah tentu mahu menerima pakai kiranya ada cadangan baru bagi meningkatkan lagi produktiviti.

Jika Kelantan dan lojiknya dilanjutkan lagi di Terengganu betapa cuti pada hari Jumaat adalah sebagai kemudahan beribadat dan cuti hari Sabtu adalah untuk keluarga.

Walaupun di bawah pentadbiran BN cutinya tidak kena pada hari Jumaat, kecuali Kedah dan Terengganu, tetapi kerana semua kegiatan manusia, jin dan malaikat adalah ibadat, maka boleh memanfaatkan pada hari cuti tidak kira hari apa untuk kerja-kerja ibadat sama ada khusus dan umum.

Bagaimanapun kerana satu dari dua hari cuti minggu itu jatuh pada hari Ahad, sudah tentu penganut agama Kristian berasa lebih selesa dan lebih bernasib baik dari penganut agama lain, kerana cuti hari hari Ahad itu adalah cuti hari ibadat mereka.

Bagi PAS cuti sehari lagi adalah untuk keluarga, menzarahi ibu bapa bagi anak yang sudah berumah sendiri, mengunjungi anak dan cucu bagi ibu dan bapa yang masih bekerja, mengadakan hubugan dengan keluar dan sahabat handai jauh dan dekat, supaya manusia memenuhi hidup ini dengan penuh semangat kasih saying dan berkeluarga.

BN pula mahukan cuti yang banyak itu untuk memajukan pelancongan. Apapun cara penggunaan cuti lebih memberi peluang yang lebih kepada setiap keluarga untuk bersama keluarga dan bertenang setelah lima hari bekerja tekun dan dedikasi.

Kalau masa kerja tidak berbeza, maka apa masalahnya yang produtiviti boleh terjejas?

Yang penting ialah kerja enam hari boleh dibuat dalam lima hari adalah satu penjimatan masa dan banyak lagi lain yang lebih besar.

Penjimatan tenaga, penjimatan belanja bagi kerajaan kerana kebanyakan bangunan kerajaan ditutub dua hari seminggu. Penjimatan tambang bagi pekerja.

Penjimatan kerana dapat makan desngan keluarga dua hari seminggu.

Walaupun ada jabatan seperti polis, tentera, radio,TV dan lain-lain tidak tutup pejabat, tetapi ia adalah pengecualian.

Pada keseluruhannya langkah kerajaan pusat menyetujui cuti dua hari seminggu dengan sendirinya membuktikan bukan UMNO saja tahu memerintah, PAS juga tahu memerintah.

Cuma PAS belum mendapat kuasa yang lebih besar saja.

Saturday, June 11, 2005

Tidak semestinya dengan DAP - ``PAS masih boleh bekerjasama dengan parti lain dan NGO''

Mukadimah

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat `keseorangan' apabila barisan kepimpinan baru parti itu yang dipilih dalam muktamar tahunan ke-51 baru-baru ini terdiri daripada golongan ulama muda dan golongan profesional.

Malah ada yang merasakan sikap Hadi yang dilihat agak radikal dan keras dalam tindakannya tidak bersesuaian dengan barisan baru yang dipilih oleh para perwakilan.

Bagaimanapun dalam pertemuan dengan wartawan MOHD. KAMIL YUSUF, ZULKIFLEE BAKAR dan SAIFULIZAM MOHAMAD, bekas Menteri Besar Terengganu itu menafikan tafsiran seumpama itu.

``Mereka yang membuat tafsiran itu siapa?'' tanyanya semula ketika dibangkitkan persoalan itu.

Abdul Hadi kemudian menegaskan bahawa apa yang penting ialah penerimaan ahli-ahli Pas yang berhak untuk mencorakkan kepimpinan parti itu.

Dalam wawancara hampir sejam di kediamannya di Kampung Rusila, Marang, Terengganu itu, Abdul Hadi mengupas beberapa isu yang membayangkan hala tuju dan pendekatan politik Pas selepas ini.

Beliau misalnya membincangkan strategi yang akan dilakukan oleh Pas dalam menarik sokongan bukan Melayu jika DAP tidak mahu bekerjasama dengannya.

``Masih ada parti-parti lain dan pertubuhan bukan kerajaan,'' katanya.

Beliau menjelaskan dengan panjang lebar konsep kerjasama itu dan usaha Pas untuk menarik sokongan bukan Islam dalam mencapai impian parti itu memerintah Malaysia.

Abdul Hadi juga menjelaskan hubungannya dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga menjelaskan kedudukan Majlis Syura Ulama yang dianggap paling berkuasa berbanding barisan kepimpinan politik dalam Pas.

MINGGUAN: Berdasarkan kepada keputusan pemilihan baru-baru ini apakah mesej yang hendak disampaikan oleh ahli-ahli Pas?

ABDUL HADI: Mesejnya jelas melalui ucapan dasar saya pada muktamar yang bertajuk Paksi Kebangkitan Perjuangan. Paksi yang saya maksudkan ialah meneguhkan lagi prinsip perjuangan kita di samping mengatur strategi dan langkah menghadapi keadaan semasa dan masa depan bagi memenuhi tanggungjawab parti memimpin umat ke arah yang kita rancangkan.

Barisan yang dipilih lebih bersifat mengekalkan kepimpinan lama yang perlu dikekalkan serta memberi ruang kepada pemimpin pelapis untuk kelangsungan perjuangan. Proses ini berlaku dengan baik dan diterima oleh ahli-ahli Pas. Ini dapat dilihat melalui wajah mereka ketika saya menyampaikan ucapan penggulungan.

Kepimpinan yang terpilih tidak terlepas daripada persoalan mengenai ulama dan bukan ulama. Bagi Pas sendiri apakah kayu pengukur untuk meletakkan seseorang itu bertaraf ulama?

ABDUL HADI: Kita perlu melihat sejarah penubuhan Pas yang melibatkan kalangan ulama iaitu mereka yang belajar dalam pengajian Islam serta kalangan yang belajar dalam bidang profesional. Mereka bersatu menubuhkan Pas dan kita melihat bagaimana kepimpinan itu datang daripada kalangan ini bermula dengan Allahyarham Mohamad Fuad, Dr. Burhanuddin, Dr. Mohamad Abas dan kepimpinan seterusnya.

Oleh itu pemecahan antara ulama dan profesional tidak wujud dalam Pas. Kita berpadu dan sama-sama berjuang untuk mendaulatkan Islam serta membahagi-bahagikan tugas. Selain itu, proses perkaderan dalam Pas ini adalah untuk mematangkan ulama supaya mereka mengetahui masalah semasa dan mengulamakan profesional supaya mereka mengetahui masalah-masalah hukum dalam Islam.


Kalau itu tafsiran Datuk Seri, kenapakah wujud istilah kepimpinan bersama ulama?

ABDUL HADI: Kepimpinan ulama diwujudkan atas dasar perlembagaan Pas yang berpandu kepada al-Quran, hadis, ijmak ulama dan kias. Kita mewujudkan Majlis Syura Ulama untuk memelihara parti mengikut landasan.

Mereka yang menganggotai majlis ini bukan sahaja berkelulusan tetapi mesti juga ada kepakaran dalam hukum Islam, menguasai bahasa Arab, boleh merujuk kitab-kitab muktabar, memahami al-Quran serta pada masa yang sama mereka itu orang yang dilihat berjaya dalam ujian sejak beberapa tahun berjuang dengan kita.

Kefahaman Pas mengenai soal ini agak mengelirukan kerana kepada orang Melayu ulama adalah pakar dalam bidang agama tetapi dalam saf kepimpinan baru ini Mohamad Sabu juga dianggap ulama?

ABDUL HADI: Nabi Muhammad s.a.w. tidak berjuang untuk bangsa Arab sahaja; baginda rasul untuk seluruh manusia. Begitu juga Pas. Kita tidak terpengaruh dengan fahaman orang Melayu yang sempit dalam masalah Islam.

Ahli-ahli Pas berdasarkan kepada al-Quran, hadis, ijmak ulama dan kias. Kita tidak sempit seperti fahaman orang Melayu sehinggakan lebai yang boleh membaca al-Quran pun dianggap ulama walaupun dia tidak mengerti dan memahami isi kandungannya.

Walaupun ramai golongan ulama muda dan profesional dipilih tetapi mereka tetap berada di bawah kepimpinan Datuk Seri yang dilihat radikal dan agak keras. Apa pandangan Datuk Seri?

ABDUL HADI: Mereka yang membuat tafsiran itu siapa? Sehingga hari ini saya belum dapat apa-apa reaksi balas yang sebenarnya daripada orang ramai. Apa yang penting ialah penerimaan ahli-ahli Pas sendiri yang berhak untuk mencorakkan kepimpinan dalam muktamar mereka.

Jarak umur antara saya dengan kepimpinan baru bukanlah satu masalah. Apa yang berlaku sekarang samalah seperti jarak usia saya dengan Allahyarham Yusof Rawa ketika saya menjadi naib presiden serta dengan Allahyarham Datuk Fadzil Noor ketika saya menjadi timbalan presiden.

Dalam sejarah Islam umur tidak menjadi masalah. Apa yang menjadi masalah ialah kematangan seseorang sama ada kematangan yang sedia ada ataupun mereka berjaya mematangkan diri melalui proses perkaderan oleh parti.

Apa yang berlaku ini ialah kematangan dalam proses perkaderan bagi parti untuk menyediakan pelapis-pelapis. Sejarah Islam membuktikan bagaimana Nabi Muhamad melantik gabenor Mekah yang ketika itu berusia 20 tahun dan begitu juga kejayaan Sultan Mohamed Al-Fateh menawan Istanbul pada usia 21 tahun.

Biarpun pemilihan kali ini menonjolkan ulama muda dan profesional tetapi mereka dianggap tetap harus akur kepada apa juga keputusan Majlis Syura Ulama. Tidakkah ini boleh menimbulkan konflik?

ABDUL HADI: Dalam Islam ada perkara yang boleh direalisasikan serta-merta dan ada perkara yang perlu menunggu kefahaman masyarakat. Oleh kerana itu, bukan semua keputusan Majlis Syura Ulama mesti dilaksanakan. Jika parti memikirkan bahawa masyarakat tidak boleh terima ia akan ditangguhkan. Ada juga keputusan kepimpinan Pas pusat yang bercanggah dengan Islam dan dibatalkan oleh Majlis Syura Ulama.

Apabila wujud hal-hal seumpama ini maka kita dapat menyesuaikan keadaan sebagaimana yang dikehendaki oleh ajaran Islam. Majlis Syura Ulama boleh memberi pandangan dan berdasarkan kepada hukum tetapi jika hendak dilaksanakan ia akan dilihat apakah perkara ini perlu serta-merta atau kita perlu memahami realiti yang ada. Pihak yang akan mentafsirkan ialah jawatankuasa politik dalam Pas.

Maknanya kalau jawatankuasa politik Pas mendapati sesuatu hukum atau tindakan yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama bertentangan dengan realiti semasa, mereka berhak menolaknya?

ABDUL HADI: Ia perlu diteruskan dengan syarat tidak bercanggah dengan Islam dan hukum. Ada keputusan Majlis Syura Ulama yang kita lihat masyarakat belum mampu terima, maka kita tangguh. Di sini ada fleksibiliti, tidak boleh beku antara Majlis Syura Ulama dan jawatankuasa politik Pas. Inilah keistimewaan politik yang ada dalam Islam.

Sebagai contoh, dalam masalah hukum meneroka tanah. Mengikut mazhab Shafie sesiapa yang meneroka tanah, maka tanah itu menjadi milik mereka sama ada diizinkan oleh kerajaan atau tidak. Tetapi mazhab Hanafi menyatakan mestilah ada kerajaan yang meluluskan supaya tidak timbul kacau-bilau; tidak boleh automatik begitu kerana ini realiti hidup masyarakat. Imam Shafie berbeza dengan Imam Hanafi dalam perkara ini.

Majlis Syura Ulama boleh memberi pendapat mengikut mazhab Shafie dalam perkara ini tetapi kita berpendapat ia perlu ditangguh kerana dalam Pas juga ada kalangan profesional yang membaca hukum-hukum Islam.

Ini menandakan tiada teokrasi dalam Islam maknanya dalam Islam tidak wujud golongan agama sebagai golongan suci yang tidak boleh dipertikaikan keputusan mereka. Islam bercanggah dengan teokrasi; Islam boleh terima demokrasi.

Pas kalau boleh ingin bertanding di semua kawasan tetapi ia menghadapi masalah untuk mendapat sokongan bukan Melayu. Apa pandangan Datuk Seri?

ABDUL HADI: Kita bertanding di kawasan yang kita jangka boleh menang bahkan kawasan kita yang boleh menang pun kita bagi kepada kawan yang bekerjasama dengan kita. Kita lakukan ini dan terbukti. Kita beri Kuala Terengganu kepada Parti Melayu Semangat 46... menang, walaupun ia kawasan kita dan kita juga boleh menang bertanding sendirian.

Kita juga beri kepada rakan kita di Kelantan kawasan yang Pas boleh menang. Ini menandakan anjalan. Apa yang kita ambil kira ialah supaya ada kawasan di luar pantai timur - kawasan yang kuat UMNO yang ada penyokong Keadilan dan penyokong parti lain - boleh dimenangi oleh Pas dengan sokongan parti lain, sebagaimana parti lain boleh menang dengan sokongan Pas.

Ini bentuk kerjasama yang perlu diadakan, bukan sahaja kita hendak menang dalam pilihan raya tetapi semangat persaudaraan antara parti yang bertanding perlu diwujudkan.

Tindakan Pas ini tidak menimbulkan masalah kepada ahli. Walaupun ada antara mereka menentang kita boleh selesaikan masalah ini melalui disiplin parti. Maknanya kalau ada ahli parti tidak terima keputusan parti, kita kenakan tindakan disiplin.

Pas sudah acap kali mengadakan kerjasama dengan parti lain untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya. Kerjasama ini sering gagal terutamanya dengan parti bukan Melayu. Bagaimana Datuk Seri hendak mengatasi masalah ini?

ABDUL HADI: Sebenarnya ada sebahagiannya kita berjaya dan ada sebahagiannya kita gagal. Kita perlu mengambil penekanan terhadap aspek yang berjaya di mana dalam kerjasama ini kita mencapai kejayaan dari segi politik dan dari segi menyampaikan mesej kepada orang bukan Islam.

Dalam pilihan raya 2004 kita menang di beberapa peti undi kawasan bukan Islam. Ini adalah satu anjakan paradigma orang bukan Islam dan kita telah berjaya memisahkan tembok antara kita dan bukan Islam yang wujud sejak zaman penjajah sehinggalah di zaman mereka yang fikiran masih dijajah yang menjadikan Islam ini beku di kalangan orang Islam sahaja sehingga kita lupa apa yang dilakukan oleh Rasulullah yang telah berjaya menjadikan umat Islam sebagai model dalam masyarakat majoriti bukan Islam.

Tetapi tidak semua kerjasama ini mendapat restu ahli-ahli Pas malah ada antara mereka menentang kerjasama dengan parti-parti lain. Tidakkah Datuk Seri bimbang dengan perkara ini?

ABDUL HADI: Saya tidak bimbang sedikit pun kerana perbezaan pendapat sering kali terjadi dalam perjuangan. Apa yang menarik mereka yang mempunyai pendapat berbeza ini akhirnya bersama kita atau larut dengan perubahan politik yang berlaku.

Apa yang paling menyeronokkan saya dan patut disedari oleh semua pihak ialah kerjasama yang ini bukan sahaja membina kita tetapi juga membantu kawan kita yang lemah. Kita ikhlas dalam semua kerjasama yang kita buat.

Sejauh manakah barisan kepimpinan baru ini mampu menarik sokongan bukan Melayu menerima Pas tanpa bekerjasama dengan DAP?

ABDUL HADI: Pas tetap menyedari bahawa untuk memerintah dalam sebuah negara majmuk tidak mungkin boleh dengan Pas sahaja. Pas mestilah melibatkan kaum lain tetapi melalui acuan demokrasi - satu acuan yang diterima oleh Pas dan kaum lain.

Acuan demokrasi sesuai untuk bekerjasama cuma apa yang berlaku ia dihalang oleh demokrasi yang terbatas. Kita mengharapkan kepimpinan negara membuat perubahan dalam demokrasi seperti mana yang berlaku di Afrika Selatan dan Indonesia.

Kita mahu pemimpin kita mempunyai keberanian sebegitu rupa. Demokrasi yang sempit inilah yang menghalang kita mengadakan kerjasama dengan kaum lain.

Jika pemulihan demokrasi ini wujud saya yakin kita boleh menunjukkan model kerjasama dengan orang bukan Islam yang lebih daripada yang lain.

Datuk Seri mengakui Pas tidak boleh memerintah negara secara bersendirian dan memerlukan sokongan bukan Melayu tetapi setiap kali mengadakan kerjasama dengan DAP, Pas selalu gagal. Apa usaha Datuk Seri supaya ia berjaya?

ABDUL HADI: Tidak semestinya dengan DAP, kita tidak terikat dengan DAP kerana ia hanya satu parti sahaja. Masih ada parti-parti lain dan pertubuhan bukan kerajan (NGO). Kita tahu kadangkala orang bukan Islam dipengaruhi oleh NGO dan mereka boleh buat perubahan melalui NGO, bukan semestinya DAP.

DAP hanyalah salah satu daripada parti dan kita mengajak semua parti yang ingin membuat perubahan supaya bekerjasama. Memanglah dalam kerja sama ini ada perkara yang kita berselisih faham. Tetapi kita tekan dalam perkara yang kita bersetuju di mana perkara yang kita berselisih faham kita berunding kemudian. Utamakan perkara yang boleh kita bersetuju dahulu, inilah pendekatan yang perlu kita ambil.

Apa pun usaha Pas, DAP sudah tentu akan terus menolak selagi Pas mengamalkan dasar Islamnya. Apakah selepas ini tumpuan Pas kepada NGO pula untuk bekerjasama?

ABDUL HADI: Saya juga menolak DAP, selama mereka cauvinis dan sosialis. Saya boleh menolak DAP tetapi kita ada titik persamaan di mana DAP menentang ISA, kezaliman, penyelewengan dan DAP inginkan perubahan. Ini adalah titik persamaan.

Kerjasama ini berlaku di dalam dan di luar Parlimen. Ia tidak mustahil kerana dunia berubah. Kita mengharapkan akan berlaku perubahan untuk kebaikan bersama seluruh masyarakat di Malaysia sama ada yang menyokong Pas atau DAP.

Apa yang janggal mengenai Pas ialah ia ingin menarik bukan Islam tetapi tidak mahu mengubah dasar berpegang kepada al-Quran dan Sunah serta ingin menubuhkan negara Islam. Bagaimana Datuk Seri hendak menjelaskan semua ini?

ABDUL HADI: Kita menghadapi bukan sahaja orang bukan Islam yang tidak faham tetapi juga orang Islam. Orang Islam perlu faham bahawa dalam Islam ada dua perkara: Pertama, amalan-amalan agama yang berkait dengan akidah dan Rukun Islam serta rukun yang perlu diberi penekanan peribadi. Ini perkara yang tidak berganjak - mesti seorang itu Islam.

Tetapi dalam hal politik, ini diajar oleh Nabi Muhammad, kita boleh bekerjasama dengan orang yang tidak masuk Islam. Kaedah ini sudah berjaya malah paling berjaya dalam sejarah, dan orang Islam patut menonjolkannya. Kita mahu bekerjasama dengan orang bukan Islam untuk menegakkan keadilan dalam semua segi seperti mahkamah, ekonomi dan pendidikan.

Semua perkara ini dilaksanakan oleh Nabi Muhammad semasa mendirikan negara Islam yang pertama di Madinah. Baginda mengadakan persefahaman dengan orang Yahudi - bangsa yang paling degil dalam dunia, lebih degil daripada orang Cina, lebih degil daripada orang Melayu yang degil.

Tetapi ia boleh mengadakan kerjasama dan berjaya mendirikan sebuah kerajaan dalam keadaan mereka tidak dipaksa menganut Islam. Mereka menerima pemerintahan kerana kita hendak mengambil uslub demokrasi. Uslub demokrasi ini ialah kita menerima perubahan bagi melaksanakan Islam. Ada perkara yang sama contohnya undang-undang jalan raya yang wajib dikenakan kepada se-mua kaum begitu juga dengan hak untuk berniaga, belajar dan mempertahankan bahasa ibunda. Ini dihormati oleh Islam.

Perkara ini diterima oleh DAP dan orang bukan Islam. Islam mengakui hak mereka. Sebagai contoh hak menolong orang miskin tidak semestinya hanya untuk bumiputera. Kalau orang miskin itu bukan bumiputera mereka wajib ditolong. Kalau pemerintah Islam tidak tolong ia satu dosa walaupun yang tidak ditolong itu bukan Islam. Inilah yang perlu kita tekankan.

Kalau perkara ini ditonjolkan saya yakin kita boleh mengadakan kerjasama dengan orang bukan Islam tetapi mestilah ada satu model. Kita cuba wujudkan model di Kelantan dan Terengganu. Kita telah melaksanakan hak untuk bukan Islam tetapi kita dikepung.

Sekatan yang dibuat ini tidak demokratik, kalau demokrasi itu wujud saya yakin orang bukan Islam boleh terima. Oleh kerana itu saya mengambil pendekatan demokrasi, kita tidak paksa hendak mewujudkan pemerintahan Islam dalam sekelip mata, kita beri hak kepada siapa yang menang di peringkat pusat.

Tetapi bagi negeri yang kita perintah dan dikuasai oleh Pas dengan majoriti orang Islam kita laksanakan Islam dahulu. Untuk orang Islam sahaja walaupun bukan Islam minoriti namun mereka tidak akan dipaksa untuk hukum Islam.

Pas sebuah parti politik yang besar dan Datuk Seri dilihat salah seorang tokoh politik utama di negara ini. Kenapa perlu laluan diberikan kepada Anwar Ibrahim untuk mengetuai barisan pembangkang? Tidakkah ini akan menjejaskan kredibiliti Pas atau Datuk Seri sebenarnya tidak mampu memimpin barisan pembangkang?

ABDUL HADI: Pas mempunyai sikap yang terbuka iaitu kepimpinan pembangkang adalah kepimpinan yang paling diterima oleh rakyat. Sama ada saya atau Anwar, kita terima tetapi sesiapa sahaja

Walaupun Pas sebuah parti yang besar tetapi untuk membuat perubahan kita menerima sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin pembangkang termasuk Anwar. Beliau boleh menjadi ketua tetapi ketua ini mestilah diterima oleh rakyat sama ada Islam mahupun bukan Islam.

Tetapi Pas lebih kuat dan berpengaruh berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kenapa perlu tunduk kepada PKR?

ABDUL HADI: Pengaruh Pas ada di kalangan orang Melayu tetapi kita perlu perubahan seluruh rakyat bukan orang Melayu sahaja. Kita menguasai orang Melayu untuk membuat perubahan, kita dapat menarik semua kaum oleh kerana itu kita perlu kepala kepimpinan yang boleh diterima oleh sesiapa sahaja, maka Pas menerima sesiapa sahaja pemimpin yang diterima oleh semua kaum.

Tetapi ada ahli Pas sendiri menentang langkah untuk mengambil Anwar mengetuai barisan pembangkang?

ABDUL HADI: Itu seorang daripada sejuta ahli Pas. Saya anggap begitu di mana menjadi amalan dalam Pas mereka boleh beri pendapat tetapi apabila sudah menjadi keputusan parti, mereka akan terima keputusan parti dan mereka akan bekerja dengan gigih.

Ini diakui sendiri oleh pemimpin DAP, pada masa mereka bekerjasama dengan Pas. Ada ahli Pas yang bekerja dengan gigih di kawasan DAP sebagaimana orang Cina bekerja dengan gigih di kawasan Pas. Itu antara kawan-kawan kita, apatah lagi sesama Pas mereka boleh bekerja walaupun mereka tidak bersetuju dengan calon.

Ada penganalisis politik berpendapat, Pas hakikatnya boleh mencapai kejayaan dengan melakukan perjuangan sendiri tetapi malangnya Pas sendiri memilih untuk bekerjasama dengan parti lain apabila menjelang pilihan raya?

ABDUL HADI: Pandangan itu adalah pandangan orang yang tidak Islamik. Islam adalah agama untuk semua kaum dan semua manusia, bukan sahaja penganut Islam tetapi juga penganut bukan Islam.

Bukan dalam konteks untuk mengajak masuk Islam tetapi termasuk dalam konteks politik, kita perlu bekerjasama dengan semua orang. Ini prinsip yang diajar oleh Nabi Muhammad tetapi Islam mesti menjadi pemimpin.

Atas sebab itu saya tetap menerima hakikat yang pertama, untuk menguasai politik Malaysia mesti melibatkan semua kaum tidak boleh orang Melayu sahaja.

Kedua, untuk mengepalai barisan pembangkang ini mesti orang Melayu beragama Islam dan mereka ini terbahagi kepada dua iaitu orang Melayu yang diterima oleh orang Islam sahaja dan orang Melayu yang diterima oleh orang Islam dan bukan Islam. Ini perlu kita cari di kalangan pimpinan orang Melayu.

Datuk Seri sering dilihat bercanggah pendapat dengan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malah dalam sesetengah isu kenyataan yang dibuat telah menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai. Kenapa ini berlaku?

ABDUL HADI: Itu menandakan demokrasi dalam Pas. Ia juga menandakan ulama kita bukan ulama agama yang mengamalkan fahaman teokrasi. Dalam Islam adalah tidak betul jika kita menganggap kata-kata ulama sebagai firman. Ulama tidak suci.

Mereka boleh memberi pandangan dalam perkara yang tidak ada nas, bahkan Nabi Muhammad dalam perkara yang tidak ada nas baginda diberi pandangan oleh para sahabat dan baginda menerima pandangan mereka. Ini diajar oleh Islam. Kita hendak menunjukkan model demokrasi dalam parti kita dengan harapan parti lain akan mencontohinya.

Mungkin bagi ahli Pas mereka boleh terima tetapi bagaimana dengan orang di luar Pas? Mereka melihat ia satu pertentangan pendapat yang cukup ketara.

ABDUL HADI: Saya sebagai pemimpin Pas lebih memahami orang Pas berbanding dengan orang di luar Pas. Islam mengajar kita wajib bersepakat dengan perkara yang ada nas dalam al-Quran dan hadis. Kalau perkara yang tidak ada nas kita boleh berselisih faham.

Dalam sejarah Islam, Imam Shafie adalah guru kepada Imam Ahmad Abbas, Imam Shafie adalah murid kepada Imam Malik bin Anas, Imam Shafie murid kepada Mohamad bin Hassan Syaibani pemimpin mazhab Hanafi.

Walaupun mereka bertelingkah dari segi mazhab tetapi mereka berguru antara satu sama lain. Ini keindahan yang ada dalam Islam.

Nik Abdul Aziz menyifatkan mereka yang memburukkan peribadi orang ketika berkempen dalam pemilihan baru ini bukan pejuang Islam tetapi pejuang Pas. Apa pandangan Datuk Seri?

ABDUL HADI: Pas adalah wadah. Asas, prinsip dan akidah kita adalah Islam. Kita berjuang Islam selagi Pas berdiri di atas wadah dan prinsip Islam ini. Kalau Pas ubah dasarnya lari daripada Islam maka kita tidak boleh berjuang lagi dengan Pas.

Kita tidak mahu ajar orang Pas fanatik kepada pemimpin atau fanatik kepada parti. Tetapi mereka setia dengan Islam, inilah keistimewaan dalam Pas. Apabila ada pemimpin meninggal dunia, parti tetap tegak, sejak tahun 1951 lagi.

Bagi mereka yang mengkaji kita berbeza dengan parti lain walaupun pasang surut dalam pilihan raya tetapi Pas tegak. Ahlinya bertambah bukannya berpecah. Kalau ada keluar Pas yang masuk Pas lebih ramai lagi.